semambu, neem, dherba, herba, rawatan alternatif

Daun Semambu untuk rawat Covid-19: Belum ada kajian klinikal

Kongsi | Share

Daun Semambu atau Neem yang sebelum ini tular di media sosial, terutama Facebook, kerana didakwa mampu merawat Covid-19, belum mempunyai bukti klinikal dan saintifik setakat ini.

Menurut Pensyarah Kanan dan Penyelidik dalam bidang kajian kimia hasilan semulajadi, Dr Che Puteh Osman, kajian menunjukkan biji dan daun Semambu mengandungi sejenis limonoid yang terbukti berkesan membunuh dan menghalau serangga perosak.

“Tetapi untuk mengatakan dia (Semambu) berkesan merawat jangkitan COVID, ia memerlukan pembuktian secara klinikal ke atas manusia. Ini kerana sebatian kimia aktif yang ada dalam neem (Semambu) perlu diformulasi dengan kaedah yang tepat supaya sampai kepada sasaran dalam badan.

“Kalau tidak ia akan termusnah dicerna oleh asid di dalam jus gastrik di dalam perut,” catat beliau di laman web Drcheputeh.com.

Dr Che Puteh berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kimia hasilan semulajadi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

semambu, neem, dherba, herba, rawatan alternatif
SISTEM IMUN… Setakat ini, Neem hanya diketahui digunakan secara tradisional dalam perubatan Melayu dan Ayurveda bagi meningkatkan sistem imun atau ketahanan tubuh manusia.

Laman web berkenaan dikendalikan beliau sendiri bertujuan berkongsi maklumat dan penemuan saintifik terhadap tumbuhan semulajadi tempatan, termasuk herba.

Belum ada kajian klinikal

Dr Che Putih menegaskan, sehingga kini tiada kajian secara klinikal mahupun secara tabung uji menunjukkan ekstrak Neem mampu merencatkan pertumbuhan virus korona, termasuk Covid-19, yang sedang merebak sekarang.

Baca juga:  Rawatan alternatif: Penyembuhan menerusi tenaga dalam

Setakat ini, Neem hanya diketahui digunakan secara tradisional dalam perubatan Melayu dan Ayurveda bagi meningkatkan sistem imun atau ketahanan tubuh manusia.

Menurut Dr Che Puteh, ada kajian dibuat ke atas tikus dan tabung uji menunjukkan ekstrak Neem mampu meningkatkan tindakbalas sistem imun, tetapi tidak spesifik kepada kuman yang digunakan dalam kajian itu.

Perlu bukti santifik

Justeru, catat beliau, kemampuan daun Semambu dalam merawat Covid-19 memerlukan pembuktian menerusi kajian klinikal terhadap manusia.

“Dalam keadaan kita nak membendung pergerakan manusia (Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia sekarang), janganlah pula berpusu-pusu keluar cari daun semambu,” tegas beliau.

Malah menurut Dr Che Puteh, ada beberapa laporan kes keracunan disebabkan pengambilan daun Semambu, terutama di kalangan kanak-kanak.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak ingkar arahan pihak berkuasa untuk kuarantin dan duduk di rumah disebabkan meminum air rebusan Semambu.

Lebih banyak info kajian kimia hasilan semulajadi dapat dibaca di laman web Dr Che Puteh di sini. – Dherba.com

Kongsi | Share
TANYA