Kata Editor,Penting!,Penulis Tamu,Rawatan Alternatif

Waspada apabila mengambil produk herba atau rawatan alternatif

31 Mar , 2014  

Orang ramai sepatutnya mengambil kira beberapa isu berbangkit berhubung penggunaan produk berasaskan herba dan rawatan alternatif. Antaranya ialah:

1. Sesetengah produk atau terapi rawatan alternatif mungkin tidak dilengkapi ujian atau bukti saintifik bagi menyokong dakwaan penyembuhan. Wujud juga dakwaan melampau kononnya sesuatu produk atau rawatan alternatif mampu merawat apa sahaja jenis penyakit – dari hujung rambut ke hujung kaki.

2. Sesetengah perawat mungkin mengesyorkan dos keterlaluan kononnya bagi mempercepatkan proses penyembuhan. Perlu diketahui bahawa produk atau rawatan alternatif, termasuk herba yang pada asasnya bersifat semulajadi, juga boleh memudaratkan jika diambil pada dos berlebihan atau dicampurkan dengan pelbagai bahan yang mengakibatkan keracunan atau kerosakan sistem tubuh.

3. Sesetengah dianogsis rawatan alternatif mungkin mencurigakan atau bersifat kontroversi, malah membabitkan unsur jenayah seperti cabul dan rogol oleh pengamal rawatan alternatif.

Justeru, pengguna disaran mengambil langkah perlu bagi memastikan penggunaan produk dan terapi rawatan alternatif benar-benar selamat serta menyihatkan. Antaranya:

1. Maklumat – Dapatkan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber, termasuk bahan bercetak dan internet. Tetapi jika membuat rujukan di internet, anda perlu lebih berhati-hati kerana maklumat produk dan rawatan alternatif di internet kini sarat dengan pelbagai dakwaan penyembuhan melampau, kurang berasas serta tanpa rujukan berwibawa. Lebih baik dapatkan pandangan pihak kedua (second opinion) daripada doktor perubatan (medical doktor).

2. Tidak berahsia – Pastikan anda berasa selesa, yakin dan selamat dengan pengamal rawatan alternatif yang dipilih. Jika tidak, jangan teragak-agak untuk mendapatkan pilihan lain. Pastikan juga pengamal perubatan alternatif itu tidak terlalu berahsia mengenai rawatan. Jika perlu, minta pengamal berkenaan menerangkan sejelas-jelasnya kaedah dan rasional rawatan. Sesetengah rawatan alternatif memang sukar digambarkan menerusi penjelasan saintifik dan objektif. Namun pastikan anda memperolehi maklumat sebanyak dan sedapat mungkin.

3. Syariat Islam – Bagi individu beragama Islam, pastikan amalan dan kaedah rawatan serta iktikad pengamal rawatan alternatif tidak bertentangan dengan syariat Islam. Jika perlu, dapatkan pandangan mereka yang alim dalam bidang berkenaan. Pastikan juga bayaran yang dikenakan pengamal rawatan alternatif adalah munasabah dan tiada unsur paksaan. Jangan terpedaya dengan kadar ‘pengeras’ melampau jika anda tidak benar-benar pasti ia berbaloi, wajar dan munasabah. D’HERBA

* Lebih banyak artikel seperti ini di dalam D’HERBA edisi cetak di sini. 

, ,


Comments are closed.

Arkib

Penafian

Semua info di laman ini hanya maklumat umum dan mungkin berdasarkan amalan serta kepercayaan tradisional. Dan, semua kandungan di laman ini tidak ditulis oleh doktor perubatan (medical doctor). Ia hanya untuk pengetahuan am dan tidak boleh serta tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat perubatan.
Justeru, anda dinasihatkan mendapatkan konsultasi doktor perubatan (medical doctor) untuk penjelasan lebih lanjut, tepat, semasa dan sahih berhubung masalah kesihatan yang anda alami secara spesifik, terutama jika ia berulang dalam jangka sederhana atau lama.
Anda juga dinasihatkan membaca, mengambil berat dan mematuhi semua pengumuman / hebahan, peraturan dan penguatkuasaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa berhubung perubatan herba dan perubatan alternatif.
D'HERBA tidak bertanggungjawab bagi apa juga kesan nyata atau kesan sampingan akibat penggunaan apa juga info di laman ini.
Sesetengah herba dan produk siap di laman ini dijual secara sistem affiliate atau dropship. Justeru, aspek keselamatan dan kemurajaban adalah tanggungjawab pembekal-pembekal berkaitan.