gajus, herba

Kata Editor,Penting!,Penulis Tamu

Herba dan rawatan alternatif: Jangan abai nasihat doktor perubatan

13 Apr , 2014  

Sama ada di sebelah timur atau barat dunia, rawatan alternatif semakin mendapat perhatian dan menjadi pilihan ramai. Namun, keghairahan menggunakan produk dan rawatan alternatif bukan bermakna anda patut menyisihkan kaedah perubatan moden (alopati) atau dirujuk juga sebagai perubatan konvensional.

Langkah dan sikap terbaik ialah mengintegrasikan rawatan alternatif dengan perubatan konvensional. Ini kerana ada sesetengah masalah kesihatan tidak dapat ditangani rawatan konvensional tetapi berjaya diatasi menerusi rawatan alternatif. Begitulah sebaliknya.

Jangan pula berkeras untuk kekal dengan produk atau rawatan alternatif dan tidak mahu mendapatkan rawatan daripada doktor perubatan (medical doctor) semata-mata kerana anda takut jarum atau pisau pembedahan. Ini kerana fungsi dan kebaikan perubatan konvensional tetap dapat dipertanggungjawabkan dan terbukti (proven).

Justeru, sebelum dan sepanjang menggunakan produk atau rawatan alternatif, termasuk herba tertentu, pastikan perkara berikut diberi perhatian.

1. Mengandung – Jika anda mengandung, jangan sewenang-wenang mengambil ubat herba atau produk rawatan alternatif tanpa mendapat nasihat doktor perubatan.

2. Simptom mudarat – Jangan berlengah semata-mata kerana mahu mencuba dahulu produk atau rawatan alternatif jika anda mengalami simpton mudarat seperti sakit dada, sukar bernafas, pening atau pitam, keletihan melampau dan berpanjangan serta mengalami penurunan berat badan mendadak dan berterusan.

3. Diagnosis – Jangan cuba melakukan diagnosis sendiri terhadap apa juga masalah kesihatan. Jumpa dan dapatkan nasihat doktor perubatan.

4. Dos – Pastikan pengambilan apa juga ubat herba atau produk rawatan alternatif adalah pada dos (sukatan) yang tepat. Untuk memastikannya, dapatkan nasihat pakar perubatan herba bertauliah atau doktor perubatan.

5. Ubat – Jika anda sedang mengambil ubat yang dipreskripsikan oleh doktor perubatan, jangan berhenti mengambilnya tanpa mendapat nasihat doktor perubatan terlebih dahulu semata-mata kerana mahu bertukar mengamalkan ubat herba atau produk rawatan alternatif lain. – D’HERBA

* Lebih banyak artikel seperti ini di dalam D’HERBA edisi cetak di sini. 

D'HERBA

Penyiaran semula artikel kami di laman web atau blog lain mesti menyatakan Sumber: D'HERBA atau mengekalkan kredit D'HERBA pada artikel berkenaan.

TANYA / KOMEN

, , , , ,


Comments are closed.