bayi, ibu bersalin, dalam pantang

Artikel,Herba

Rawatan ‘pupukan’ menggunakan herba

1 Apr , 2014  

Ibu yang baru bersalin biasanya menghadapi kekurangan darah. Ini menyebabkan fizikal dan mental si ibu berada dalam keadaan kurang bermaya.

Raut wajah si ibu biasanya kelihatan pucat dan pergerakan fizikal pula tidak begitu stabil.

Keadaan ini memungkinkan ibu yang baru lepas bersalin mengalami pening atau sakit kepala atau demam panas.

Lebih membebankan jika si ibu terpaksa berjaga malam bagi merawat atau menjaga bayinya yang baru lahir.

Situasi demikian boleh dirawat dengan mudah, setidak-tidaknya untuk mengurangkan risiko lain ketika dalam pantang.

Antara rawatan yang boleh diamalkan ialah menerusi kaedah pupukan. Kaedah atau rawatan pupukan perlu membabitkan penggunaan bahan semulajadi atau herba tertentu.

Antaranya ialah lempayung, halia, lengkuas dan kunyit. Bahan herba berkenaan mempunyai unsur penyejuk yang mampu membantu mengurangkan suhu bahan dan menyegarkan fizikal si ibu.

Kaedah rawatan boleh dilakukan dengan mudah menerusi bantuan suami atau saudara-mara. Malah si ibu boleh melakukannya sendiri.

Bahan herba berkenaan hendaklah ditumbuk atau diasah pada pasu atau alat yang berpermukaan sedikit kasar, sebaiknya yang diperbuat daripada tanah liat.

Memulakan dengan selawat, sapukan herba yang telah lumat itu pada dahi si ibu dan biarkan ia sehingga melegakan dan menyegarkan kepala serta fizikal.

Bahan herba yang disiapkan itu boleh juga dipupuk pada dahi si bayi. Ini bagi mengelakkannya terkena sawan.

Rawatan pupukan pada si bayi penting bagi mengelak sawan kerana gejala ini amat berbahaya sehingga boleh mengganggu emosi dan fizikal bayi.

Satu lagi herba yang boleh digunakan bagi rawatan pupukan kepada si ibu yang baru lepas bersalin ialah kulit kayu manis.

Kulit kayu manis, kira-kira 3 sentimeter, hendaklah ditumbuk atau diasah pada pasu atau alat berpermukaan kasar. Lebih baik jika ia diperbuat daripada tanah liat.

Campurkan sedikit air dan pupukkan pada dahi si ibu yang baru lepas bersalin dua kali sehari.

Rawatan pupukan menggunakan kulit kayu manis boleh diteruskan walaupun selepas pantang.

Rawatan pupukan menggunakan kulit kayu manis dikatakan mampu mengelak pening atau sakit kepala.

Pening atau sakit kepala kemungkinan menyebabkan rabun mata akibat kelesuan berpanjangan ketika dalam pantang. D’HERBA

* Lebih banyak artikel seperti ini di dalam D’HERBA edisi cetak di sini. 

 

D'HERBA

Penyiaran semula artikel kami di laman web atau blog lain mesti menyatakan Sumber: D'HERBA atau mengekalkan kredit D'HERBA pada artikel berkenaan.

TANYA / KOMEN

, ,


Comments are closed.