bagus, thumb

Penting!,Penulis Tamu

Panduan menggunakan kosmetik herba

31 Mar , 2014  

Keghairahan wanita untuk sentiasa kelihatan cantik memungkinkan sesetengahnya lupa bahawa wujud kebarangkalian sesetengah produk kosmetik di pasaran boleh membawa kesan sampingan.

Produk kosmetik berasaskan bahan semulajadi atau herba tidak terkecuali daripada kebarangkalian terdedah kepada bahaya itu.

Bahan asasnya yang terdiri daripada tumbuhan semulajadi atau herba adalah selamat, tetapi cara pengambilan, pemprosesan dan pengadunannya yang tidak mengikut peraturan memungkinkan ia tidak selamat digunakan.

Contohnya, sesuatu tumbuhan semulajadi yang dipetik atau dituai dari habibatnya tidak patut dibiarkan terlalu lama berada di kawasan lembab kerana dikhuatiri ditumbuhi kulat yang boleh membahayakan pengguna.

Ia juga mesti dipastikan bebas daripada pencemaran seperti rumput-rampai, lumut, racun serangga, racun rumpai, sisa toksik dan bahan kimia lain.

Ada beberapa perkara perlu diambil kira oleh setiap wanita dalam memilih produk kosmetik berasaskan bahan semualajdi atau herba.

Antaranya ialah mereka sepatutnya hanya membeli produk kosmetik keluaran syarikat yang boleh dipercayai.

Syarikat yang boleh dipercayai tidak terhad semata-mata kepada syarikat yang sering mengiklankan produknya di televisyen.

Kini ada kecenderungan di kalangan wanita untuk mempercayai bahawa produk kosmetik herba yang sering muncul di televisyen lebih berkualiti dan selamat.

Jangan tertipu; seperti juga produk lain, produk kosmetik yang sering muncul ke kaca televisyen tidak semestinya yang terbaik dan selamat.

Apa penulis maksudkan dengan ‘syarikat kosmetik yang boleh dipercayai’ ialah mana-mana syarikat yang mempunyai rekod pematuhan undang-undang secara konsisten terhadap apa juga peraturan dan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan.

Pengguna juga sepatutnya mengelak membeli produk kosmetik keluaran syarikat yang tidak pasti kewujudannya.

Kehadiran sesetengah individu di pasaran yang cuba mengaut keuntungan segera, memungkinkan pengguna wanita terperangkap dengan penggunaan kosmetik yang tidak selamat.

Syarikat atau individu ini mungkin hanya melabelkan produk kosmetik mereka dengan mengaitkannya dengan herba atau bahan semulajadi sedangkan ia hanya bahan import yang dilabelkan semula di negara ini.

Sebaik-baiknya pengguna hendaklah membeli produk kosmetik herba keluaran syarikat yang dikenali dengan jenama diakui selamat.

Penulis bukan bermaksud men-yarankan pengguna hanya membeli produk kosmetik berjenama dan mahal, tetapi tindakan berhati-hati terhadap jenama dan pengeluar mungkin dapat menyelamatkan pengguna kosmetik herba daripada terdedah kepada kesan sampingan.

Selain itu, pengguna sepatutnya mengelak membeli produk kosmetik walaupun mereka mengaitkannya dengan herba atau bahan semulajadi, yang membuat dakwaan melampau atau menjanjikan kesan drastik atau segera sebagai penyelesaian kepada masalah kecantikan.

Pengguna juga mesti mengambil kira aspek keserasian dalam menggunakan produk kosmetik berasaskan herba dan bahan semulajadi. Ini kerana produk jenama A mungkin berkesan untuk si jelita B, tetapi tidak semestinya sesuai untuk si jelita C. Ia bergantung kepada faktor keserasian kulit dan bahan yang digunakan.

Jika penggunaan produk kosmetik herba menyebabkan hakisan atau rengsa, ini bermakna produk berkenaan boleh mengancam rupa paras anda.

Lebih baik jika pengguna mendapatkan nasihat pakar atau melakukan dianogsis terhadap komposisi kulit sebelum mendapatkan bahan kosmetik herba yang sesuai.

Dan jika ada sebarang keraguan berhubung kandungan sesuatu produk kosmetik, anda sepatutnya merujuk kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan dan Pusat Racun Negara di Universiti Sains Malaysia (USM). D’HERBA

* Lebih banyak artikel seperti ini di dalam D’HERBA edisi cetak di sini. 

D'HERBA

Penyiaran semula artikel kami di laman web atau blog lain mesti menyatakan Sumber: D'HERBA atau mengekalkan kredit D'HERBA pada artikel berkenaan.

TANYA / KOMEN

, ,


Comments are closed.