mas cotek, cantik herba

Herba

Naikkan seri wajah dengan ramuan herba

31 Mar , 2014  

Naikkan seri wajah dengan ramuan herba.

Dia cantik, tetapi wajahnya tidak menarik – kurang berseri dan kusam. Kawannya yang seorang lagi tu tidaklah secantik dia, tetapi wajahnya lebih berseri, segar serta mengiurkan.”

Pernah mendengar dialog sedemikian? Inilah hakikat penampilan wajah. Raut wajah cantik tidak semestinya nampak menarik dan berseri jika tanpa rawatan sewajarnya.

Impian memiliki wajah yang berseri bagi setiap wanita hanya tinggal impian jika tanpa usaha ‘empunya badan sendiri’.

Banyak cara untuk menaikkan seri wajah. Antaranya dengan memanfaatkan kaedah tradisional menggunakan pelbagai ramuan herba yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

Kelebihan amalan menggunakan herba berasaskan ramuan tradisional untuk menaikkan seri wajah tidak boleh diremehkan. Jika diamalkan secara konsisten dan dengan campuran ramuan yang tepat, ia mampu memberi hasil yang memberangsangkan.

Apakah herba berkenaan? Bagaimanakah mengamalkannya? Dan berapakan kekerapan amalannya?

Antara herba tempatan yang boleh dimanfaatkan untuk menaikkan seri wajah ialah:

1. Daun inai
Herba ini dikatakan mampu memerahkan dan menghaluskan kulit wajah serta menghilangkan bekas jerawat atau bekas parut pada muka.

Ambik segenggam daun inai yang agak tua dan direbus kira-kira tiga cawan air. Minumlah selalu dalam tempoh tiga minggu.
Daun inai juga boleh ditumbuk sehingga halus dan disentalkan pada kulit wajah yang kusam atau ada kesan parut.

2. Air kelapa tua
Ia dikatakan bermanfaat untuk mengekalkan kecantikan kulit serta menghalang pembentukan kedut pada wajah.

Caranya ialah membasuh muka dengan air kelapa tua dan biarkan kering selama 10 minit hingga 15 minit.
Setelah kering, cuci dengan air bersih. Amalkan berterusan untuk mengelakkan kulit menjadi kering yang boleh menyebabkannya berkedut.

3. Pati kelapa
Ia mampu menghilangkan kesan jerawat pada wajah serta mencerahkan kulit yang kusam.

Caranya ialah dengan memerah kelapa tanpa dicampurkan dengan air. Ambil pati perahan kelapa itu dan sapukan ke wajah sebelum tidur setelah wajah dibersihkan.

4. Daun pegaga
Khasiat daun pegaga pula dikatakan mampu menjadikan kulit wajah kekal muda, segar dan berseri.

Ambil segenggam daun pegaga, campurkan sedikit air dan tumbuk hingga lumat. Setelah itu, perahkan patinya dan minum di antara dua atau tiga kali seminggu.

5. Pisang masak
Kulit pisang masak dikatakan mampu menegangkan serta menaikkan seri wajah.

Ia hendaklah ditumbuk halus dan digaul dengan putih telur hingga rata. Kemudian lumurkan pada wajah dan biarkan kering. Setelah itu, cucilah dengan air bersih.

6. Madu
Madu dikatakan mampu memerahkan dan mencantikkan bibir dan mengelakkan kulit wajah menjadi terlalu tegang.

Untuk memerahkan dan mencantikkan bibir, sapukan dua titik madu asli pada bibir sebelum tidur.

Untuk mengelakkan kulit wajah menjadi terlalu tegang, ambil sesudu madu dan ditumbuk dengan beberapa helai daun kubis hingga berair. Sapukan pada muka dan biarkan15 minit sebelum dicuci.

7. Pinang muda
Pinang muda pula mampu melicinkan kulit dan menyerlahkan keceriaan awet muda pada wajah.

Caranya ialah dengan mengambil biji pinang muda yang masih berlendir dan sapukan pada keseluruhan muka.

8. Daun pandan
Ia mampu mengurangkan parut pada wajah serta melicinkkan kulit wajah.

Caranya ialah dengan mencampurkan daun pandan dengan kunyit, temu giring dan beras yang ditumbuk halus lalu dijadikan lulur.

9. Kunyit
Herba ini mampu membantu membuang bulu-bulu roma pada wajah.

Caranya ialah dengan menjemur kunyit hidup hingga kering, kemudian asahkan kunyit kering itu ke batu untuk mengeluarkan airnya. Sapukan air kunyit itu ke seluruh wajah.

10. Daun Lemuning
Daun lemuning dapat menyerikan raut muka serta mengatasi masalah wajah pucat, sekali gus memulihkan kecantikan, terutama di kalangan ibu yang baru lepas bersalin.

Daun berkenaan hendaklah direbus.

Bagaimanapun semua amalan rawatan wajah secara tradisional menggunakan pelbagai ramuan herba terpilih ini hanya akan menampakkan kesan positif jika diamalkan secara konsisten. D’HERBA

* Lebih banyak artikel seperti ini di dalam D’HERBA edisi cetak di sini. 

 

D'HERBA

Penyiaran semula artikel kami di laman web atau blog lain mesti menyatakan Sumber: D'HERBA atau mengekalkan kredit D'HERBA pada artikel berkenaan.

TANYA / KOMEN

, , , , , , , , , , , ,


Comments are closed.