meditasi, awet muda

Pelbagai

Meditasi untuk kecantikan dan awet muda

31 Mar , 2014  

Meditasi dikenal pasti satu daripada cara meningkatkan kekuatan sistem badan dan tahap kesihatan. Malah kini meditasi yang betul dan berkesan dikenal pasti bermanfaat meningkatkan kecantikan serta membentuk iras awet muda di kalangan wanita.

Bagaimanapun mereka yang tidak pernah atau jarang mengamalkan meditasi mungkin sukar memperolehi darjah penumpuan yang benar-benar terarah dan berkesan, sekali gus merasai keberkesanan aktiviti ini.

Berikut ialah beberapa panduan untuk amalan meditasi.

1. Kosongkan gangguan
Anda tidak semestinya bersendirian di tengah rimba atau di puncak gunung untuk bermeditasi, sebaliknya cukup di dalam sebuah bilik yang menenangkan.

Apa yang penting ialah siaz dan bentuk gangguan mesti diminimumkan sekecil mungkin, jika boleh sehingga ke tahap ‘sifar gangguan’.

Mulakan meditasi dengan tekad muktamad memutuskan hubungan dengan semua unsur luaran, termasuk manusia lain, telefon dan televisyen, malah hal ehwal peribadi anda sendiri.

2. Latihan secara konsisten
Bagi mereka yang tidak pernah atau jarang melakukan meditasi, percubaan awal mungkin tidak menghasilkan kesan menggembirakan, terutama dari segi darjah penumpuan.

Tetapi jangan putus asa. Mereka yang kini berjaya menguasai disiplin meditasi pun mengalami perkara sama di peringkat awal.

Darjah penumpuan tinggi hanya dapat dicapai menerusi latihan berulang secara konsisten. Ulangi dan ulangi lagi sehingga anda berjaya menguasai minda dan tahap penumpuan tinggi.

3. Waktu meditasi
Anda juga mungkin perlu menentukan masa sesuai untuk mengadakan meditasi, terutama pada pagi atau malam. Waktu pagi sesuai untuk menguatkan sistem badan bagi menghadapi jadual seharian agar kecantikan diri tidak terkesan dek pelbagai tekanan dan beban tugasan seharian.

Meditasi pada malam pula sesuai untuk merehatkan semula semua sistem badan yang seharian berfungsi seolah-olah jentera berat untuk melunaskan segala rutin harian. Kerehatan minda sebegini memberi kesan ketara kepada kualiti tidur anda.

Tidur yang berkualiti setelah semua sistem badan ‘dibaik pulih’ menerusi meditasi, amat penting untuk kecantikan dan iras awet muda. Meditasi itu sendiri sebenarnya satu jenis ‘tidur yang menyihatkan’.

4. Unsur kerohanian
Setelah darjah penumpuan berjaya ditingkatkan dan minda anda telah dikuasai, ada baiknya jika proses interaksi dalaman sepanjang tempoh meditasi itu turut membabitkan unsur kerohanian.

Jika anda bayangkan dan dambakan kecantikan serta kesihatan, kaitkannya dengan sumber kecantikan dan kesihatan sebenar, iaitu Allah swt. Sebutlah namanya sebanyak mungkin mengikut dispilin meditasi.

Untuk tujuan ini, dapatkan mereka yang mahir dan berjaya menguasai ilmu meditasi, terutama bersandarkan syariat Islam. Bagaimanapun anda perlu berwaspada serta tidak menerima bulat-bulat sebarang panduan yang mengaitkan unsur roh kerana dibimbangi menyebabkan penyelewengan.

5. Posisi selesa
Sebelum memulakan meditasi, ada baiknya jika anda melakukan sedikit aktiviti pemanasan dengan merenggangkan dan melegakan otot badan agar perjalanan darah menjadi lebih baik.

Meditasi boleh dilakukan sama ada pada posisi berdiri, duduk atau berbaring. Apa yang penting ialah ia menyelesakan anda dari segi fizikal dan mental.

Posisi selesa, harmoni dan nyaman banyak membantu dari segi kualiti pernafasan dan aliran tenaga dalaman sepanjang tempoh bermeditasi.

6. Terlalu kenyang atau lapar
Meditasi yang berkesan tidak dilakukan ketika terlalu kenyang atau lapar. Ketika terlalu kenyang, tenaga dalaman banyak dipusatkan kepada proses pencernaan sehingga memungkinkan rasa lemah, malas dan mengantuk.

Tenaga itu, jika cuba dipusatkan dengan proses meditasi, hanya bergerak agak perlahan ke bahagian otak.

Meditasi ketika perut lapar juga menyukarkan usaha penumpuan. Justeru, sebelum melakukan meditasi, ada baiknya anda hanya mengambil sedikit makanan atau meminum jus buah.

Apa yang paling penting dalam meditasi ialah darjah penumpuan. Ia amat bermanfaat untuk meningkatkan kecantikan dan iras awet muda. D’HERBA

* Lebih banyak artikel seperti ini di dalam D’HERBA edisi cetak di sini. 

D'HERBA

Penyiaran semula artikel kami di laman web atau blog lain mesti menyatakan Sumber: D'HERBA atau mengekalkan kredit D'HERBA pada artikel berkenaan.

TANYA / KOMEN

, , , ,


Comments are closed.